29 Juli 2009

Judi ‘ibu’ segala perbuatan jijik, binasakan hidup

Nik Salida Suhaila Nik Saleh

REALITINYA, tiada siapa yang inginkan kehidupan yang sukar, apatah lagi kesempitan wang ringgit untuk menanggung kehidupan. Justeru, kita berusaha mencari rezeki sedaya yang boleh untuk kesenangan tanggungan yang kita lahirkan, bukan meninggalkan mereka kesusahan dan kepayahan.

Kerja keras dan tidak berkira dengan keringat yang luruh sudah tentu mendapat ganjaran setimpal, berbanding menunggu durian runtuh, tetapi putik pula yang jatuh. Punca rezeki halal yang terbentang di depan mata sering kali menjadikan si pencari serba salah untuk memilih.

Tetapi ada pula yang tertarik dengan cara yang dilarang agama. Hari ini, kisah kecurian, rompakan, ragut, pukau, skim cepat kaya, penipuan dan rasuah sudah menjadi sebahagian punca rezeki. Ia berpunca daripada kejahilan manusia mengenai dosa dan pahala, serta syurga dan neraka.

Berjudi, antara ‘kerjaya’ yang dipilih, salah satunya bertujuan untuk menjadi cepat kaya turut mendapat tempat di hati sebilangan umat Islam hari ini. Ia dapat dibuktikan dengan kemeriahan kedai judi, loteri dan pusat perjudian yang dikunjungi penganut agama Islam, waima pada hari Jumaat sewaktu saudara seagama lain sedang khusyuk bersolat di masjid.

Islam melarang segala bentuk perjudian atau perbuatan mempertaruhkan wang atau apa saja sebagai taruhan yang akhirnya seseorang yang menang atau berjaya dalam taruhan akan mendapat kesemua harta taruhan itu.

Perbuatan bertaruh menyebabkan seseorang malas berusaha, suka menimbulkan permusuhan sesama sendiri bahkan tidak mengingati Allah SWT, sebaliknya mengharapkan ‘kuasa’ lain yang boleh memberi kemenangan kepada mereka dalam perjudian.

Judi atau ‘al-maysir’ diharamkan dalam Islam kerana ia satu perbuatan yang sangat keji dan punca kepada kegagalan hidup seseorang. Allah berfirman dalam Surah Al-Maaidah, ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundai nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".

Kerana perbuatan syaitan, judi menjadi racun dalam diri seseorang manusia. Daripada judi, seseorang itu boleh bertikam lidah, menjadi tamak bahkan boleh berbunuhan kerana sengketa. Orang yang berjudi juga akan melupakan tanggungjawab diri sendiri, apatah lagi tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Ketagihan yang ditanggung kerana gila judi menyebabkan kaki judi juga tidak serik untuk terus mencuba sehingga berjaya, tetapi kekurangan wang dan harta untuk dijadikan taruhan membuatkan mereka tidak keberatan pula untuk mencuri atau merompak bagi mendapatkan modal.

Ada yang agak ‘baik’ tidaklah pula sampai melakukan kegiatan jenayah tetapi meminjam wang daripada along yang akhirnya berakhir dengan jenayah juga.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Allah juga berfirman dalam Surah Al-Maaidah yang mafhumnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?"

Peluang yang ada untuk sesiapa saja yang berusaha mendapat rezeki halal untuk memenuhi keperluan buat diri sendiri dan ahli keluarga yang ditanggung perlu dilihat secara positif. Kita juga harus percaya bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berusaha keras untuk mendapatkannya dengan jalan halal adalah rezeki yang berkat dan ia tidak sama dengan apa juga yang diperoleh daripada sumber dilarang.

Ia bukan saja untuk menjamin kehidupan lebih baik di dunia ini, malah juga di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila seseorang menjadikan judi sebagai punca rezeki, pastinya ia sentiasa mengharapkan kekayaan datang sendiri, tiada usaha dan ikhtiar untuk menabur bakti, apatah lagi berkhidmat kepada pertiwi, tetapi hanya menunggu dan menanti, kalau-kalau khayalan bakal menjadi realiti.

Padahnya lagi, ia bukan saja membinasakan diri sendiri, bahkan juga orang yang disayangi kerana penjudi akan dikeji dan dibenci.

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Muslim perlu hidupkan semula semangat penyelidikan

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

PERADABAN sains dan teknologi menjadi asas kepada penemuan serta penghasilan yang memberi manfaat kepada semua dan umat Islam perlu mengambil langkah mengembalikan semula kecemerlangan dalam bidang yang pernah dikuasai ilmuwan terdahulu.

Profesor Optik Elektronik Universiti York, United Kingdom, Prof Dr Mohamed El-Gomati, berkata setiap langkah perlu terarah untuk menghidupkan semula semangat penyelidik dulu yang berusaha menghasilkan penemuan memberi kebaikan kepada ummah.

Pada masa sama katanya, usaha itu perlu bagi memperbetulkan fakta sejarah yang menafikan kebangkitan ilmuwan serta ahli sains Islam yang berjaya menghasilkan penemuan dan rekaan yang bukan saja diiktiraf malah memberi banyak manfaat kepada manusia.

“Sejarah peradaban dan sains yang sering diajar dalam sistem pendidikan bermula daripada sejarah Greek, Roman, Zaman Kegelapan, Kebangkitan, Perindustrian dan tamadun moden hari ini, sedangkan ilmuwan Islam juga banyak berjasa dalam perkembangan ilmu sains.

“Kita ramai ahli sains seperti Ibn Sinna yang terkenal dalam ilmu perubatan, Al-Biruni menguasai bidang geografi, Abul Qassim yang mencipta peralatan pembedahan, Al-Zahrawi, Al-Idrisis dan ramai lagi yang sepatutnya menjadi idola umat Islam hari ini,” katanya.

Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Belajar Daripada Masa Lalu, Perancangan Masa Depan’, pada Persidangan Antarabangsa Muslim dan Sempadan Ilmu pada Abad 21: Isu, Prospek dan Cabaran anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam hari ini memahami perkembangan ilmu pengetahuan umat Islam dulu supaya dapat menggerakkan semua semangat memperkasa diri melalui ilmu semasa yang giat berkembang.

Dr Mohamed berkata, selain mengarahkan tumpuan kepada memanfaat ilmu yang terus berkembang, usaha menghidupkan semula kecemerlangan umat Islam dapat dilakukan dengan mempopularkan sejarah mengenai ilmuwan silam.

Langkah lain perlu dilaksanakan ialah menghasilkan penulisan buku menggambarkan serta meraikan perkembangan ilmu sains dan menggalakkan sifat dermawan bagi mengumpul dana untuk melakukan penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi.

Beliau yang mengagumi bapa ilmu optik, Ibn Haitham, berkata usaha perlu dilakukan dalam memahami faktor menjurus kepada penolakan terhadap hakikat sejarah kegemilangan dicapai ilmuwan Islam dalam bidang sains serta bila ia bermula.

“Banyak sebab menyebabkan penolakan itu antaranya intelektual seperti Ernest Renan dan Max Weber yang mengatakan bahawa pemikiran orang Timur tidak berupaya menghasilkan pemikiran yang rasional.

“Malah wujud dakwaan orang Arab kurang bijak berbanding orang Barat dan ia dipengaruhi pula oleh perselisihan antara sebab dengan wahyu selain peristiwa serangan serta pemusnahan Baghdad yang menyebabkan ketidakstabilan,” katanya.

Felo Universiti Oxford, United Kingdom, Dr Muhammad Afifi Al-Akiti pula berkata, kepentingan mengembalikan semangat menguasai ilmu yang menjadi sebahagian daripada fardu kifayah boleh bertukar menjadi wajib iaitu fardu ain jika tiada seorang pun yang mengambil inisiatif melaksanakannya demi kepentingan umat sejagat.

Ketika pembentangan kerja kerja bertajuk ‘Muslim Menghadapi Sempadan Ilmu: Mempergiat Kerangka Fardu Ain dan Fardu Kifayah’, beliau memetik pendapat Imam al-Haramayn Ibn Al-Juwayni, melaksanakan amalan fardu kifayah lebih utama daripada fardu ain.

Katanya, pendapat itu bagaimanapun tidak mengubah kewajipan menunaikan fardu ain cuma menepis salah faham yang kononnya fardu ain tidak boleh diabaikan sementara fardu kifayah mencukupi sekadar ada pihak yang melaksanakannya.

“Sebenarnya apabila amalan fardu kifayah tidak dilaksanakan bermakna ia menjadi fardu ain, iaitu kewajipan kepada semua individu. Contohnya solat jenazah adalah fardu kifayah tetapi jika tiada siapa yang melakukannya, ia menjadi fardu ain dan semua perlu melaksanakan amalan fardu kifayah itu,” katanya.

Beliau berkata, ayat Allah SWT yang bermaksud biar ada daripada kalangan kamu melakukan tugas ini iaitu mengajak kepada kebaikan, jelas menekankan kepentingan amalan fardu kifayah juga penting seperti amalan fardu ain.

Oleh itu katanya, tiada pemisahan antara ilmu sekular atau ilmu agama sebaliknya umat Islam perlu menggunakan perkembangan ilmu pengetahuan yang berlaku hari ini supaya dapat memberi kebaikan kepada manusia.

Dr Afifi berkata, ilmu penting membentuk serta merencana kehidupan manusia dengan syarat ia digunakan dengan cara yang betul bukan untuk melakukan kerosakan. Bagi umat Islam, ilmu yang dipelajari boleh menjadi ibadah jika niatnya ikhlas kerana Allah SWT.

Katanya, apa yang dilakukan ilmuwan Islam dulu ialah menterjemahkan ilmu yang dikuasai ke arah menghasilkan apa yang terbaik untuk umat manusia dengan kesedaran bahawa perjuangan itu sebahagian daripada tuntutan agama.

“Imam as-Syafie berkata, ilmu adalah yang dimanfaatkan, bukan yang dihafal dan ini termasuk ilmu sekular kerana ilmu perlu untuk kehidupan di dunia,” katanya.

22 Juli 2009

PEMIMPIN

Pada umumnya setiap orang sangat berambisi untuk menjadi seorang pemimpin. hal ini berbanding terbalik ketika pada masa Rasulullah Saw., dan masa Kulafaurrasyidin (para shahabat yang yang empat). Mereka sangat enggan untuk dijadikan menjadi seorang pemimpin apalagi mencalonkan sendiri menjadi seorang pemimpin, walaupun pada kenyataannya mereka mampu menjalankan kepemimpinan mereka dengan baik. Sebagai contoh shahabat Nabi Muhammad Saw. yang pertama masuk Islam yaitu Abu Bakar, beliau menangis karena merasa bahwa tanggung jawabnya sebagai pemimpin sangatlah berat.
Menjadi seorang pemimpin saat ini sangat diidamkan oleh setiap orang, karena ada beberapa hal yang melatarbelakangi hal tersebut, khususnya kepentingan diri sendiri yang meliputi Harta, tahta, dan wanita.
Tiga hal tersebut, disadari atau tidak merupakan titik tolak yang sudah bersemayam dalam diri manusia.
ada beberapa hal yang selalu dilanggar oleh para pemimpin saat ini, diantaranya adalah:
1. mereka membuat aturan tetapi dilanggar oleh dirinya sendiri.
2. mengorbankan bawahan dalam setiap melakukan pekerjaan.
3. merasa dirinya benar dan tidak mau menerima masukan dari bawahan.
4. takut melakukan perubahan kearah yang lebih baik.
5. meremehkan hal yang kecil, padahal yang kecil bisa berubah jadi luar biasa.