Judi ‘ibu’ segala perbuatan jijik, binasakan hidup
Nik Salida Suhaila Nik Saleh
REALITINYA, tiada siapa yang inginkan kehidupan yang sukar, apatah lagi kesempitan wang ringgit untuk menanggung kehidupan. Justeru, kita berusaha mencari rezeki sedaya yang boleh untuk kesenangan tanggungan yang kita lahirkan, bukan meninggalkan mereka kesusahan dan kepayahan.
Kerja keras dan tidak berkira dengan keringat yang luruh sudah tentu mendapat ganjaran setimpal, berbanding menunggu durian runtuh, tetapi putik pula yang jatuh. Punca rezeki halal yang terbentang di depan mata sering kali menjadikan si pencari serba salah untuk memilih.
Tetapi ada pula yang tertarik dengan cara yang dilarang agama. Hari ini, kisah kecurian, rompakan, ragut, pukau, skim cepat kaya, penipuan dan rasuah sudah menjadi sebahagian punca rezeki. Ia berpunca daripada kejahilan manusia mengenai dosa dan pahala, serta syurga dan neraka.
Berjudi, antara ‘kerjaya’ yang dipilih, salah satunya bertujuan untuk menjadi cepat kaya turut mendapat tempat di hati sebilangan umat Islam hari ini. Ia dapat dibuktikan dengan kemeriahan kedai judi, loteri dan pusat perjudian yang dikunjungi penganut agama Islam, waima pada hari Jumaat sewaktu saudara seagama lain sedang khusyuk bersolat di masjid.
Islam melarang segala bentuk perjudian atau perbuatan mempertaruhkan wang atau apa saja sebagai taruhan yang akhirnya seseorang yang menang atau berjaya dalam taruhan akan mendapat kesemua harta taruhan itu.
Perbuatan bertaruh menyebabkan seseorang malas berusaha, suka menimbulkan permusuhan sesama sendiri bahkan tidak mengingati Allah SWT, sebaliknya mengharapkan ‘kuasa’ lain yang boleh memberi kemenangan kepada mereka dalam perjudian.
Judi atau ‘al-maysir’ diharamkan dalam Islam kerana ia satu perbuatan yang sangat keji dan punca kepada kegagalan hidup seseorang. Allah berfirman dalam Surah Al-Maaidah, ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundai nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".
Kerana perbuatan syaitan, judi menjadi racun dalam diri seseorang manusia. Daripada judi, seseorang itu boleh bertikam lidah, menjadi tamak bahkan boleh berbunuhan kerana sengketa. Orang yang berjudi juga akan melupakan tanggungjawab diri sendiri, apatah lagi tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.
Ketagihan yang ditanggung kerana gila judi menyebabkan kaki judi juga tidak serik untuk terus mencuba sehingga berjaya, tetapi kekurangan wang dan harta untuk dijadikan taruhan membuatkan mereka tidak keberatan pula untuk mencuri atau merompak bagi mendapatkan modal.
Ada yang agak ‘baik’ tidaklah pula sampai melakukan kegiatan jenayah tetapi meminjam wang daripada along yang akhirnya berakhir dengan jenayah juga.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".
Allah juga berfirman dalam Surah Al-Maaidah yang mafhumnya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?"
Peluang yang ada untuk sesiapa saja yang berusaha mendapat rezeki halal untuk memenuhi keperluan buat diri sendiri dan ahli keluarga yang ditanggung perlu dilihat secara positif. Kita juga harus percaya bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berusaha keras untuk mendapatkannya dengan jalan halal adalah rezeki yang berkat dan ia tidak sama dengan apa juga yang diperoleh daripada sumber dilarang.
Ia bukan saja untuk menjamin kehidupan lebih baik di dunia ini, malah juga di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila seseorang menjadikan judi sebagai punca rezeki, pastinya ia sentiasa mengharapkan kekayaan datang sendiri, tiada usaha dan ikhtiar untuk menabur bakti, apatah lagi berkhidmat kepada pertiwi, tetapi hanya menunggu dan menanti, kalau-kalau khayalan bakal menjadi realiti.
Padahnya lagi, ia bukan saja membinasakan diri sendiri, bahkan juga orang yang disayangi kerana penjudi akan dikeji dan dibenci.
Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.